CIRI-CIRI USAHAWAN BERJAYA
Usahawan adalah orang yang mampu melihat dan menilai
peluang-peluang perniagaan, menggabungkan sumber-sumber serta mengambil
tindakan bersesuaian demi memastikan kejayaan tercapai. Oleh itu, usahawan
merupakan penggerak dan pemangkin ekonomi negara. Di sini akan membincangkan
mengenai ciri-ciri yang berkaitan dengan usahawan yang berjaya. Usahawan adalah
individu yang paling dinamik dan lebih
bersedia untuk berhadapan dengan ketidaktentuan dalam usaha mereka untuk
mengejar kejayaan. Ciri-ciri keusahawanan yang dimiliki akan menjurus mereka
untuk menjadi lebih yakin serta lebih bersedia untuk merebut peluang serta
berhadapan dengan cabaran.
Usahawan boleh ditakrifkan sebagai seorang yang
menguasahakan sesuatu perniagaan sehingga berjaya dengan motif memperoleh
keuntungan di samping mengamalkan amalan-amalan yang strategik untuk terus
berjaya. Tedapat pelbagai definisi usahawan dan keusahawanan. Antaranya ialah
Kao (1995) percaya bahawa keusahawanan adalah satu proses penciptaan kekayaan
dan usahawan-usahawan tersebut merupakan individu-individu yang terlibat dalam
proses tersebut. Beliau mendefinisikan
keusahawanan sebagai satu proses mencipta sesuatu yang baru iaitu kreatif
dan berbeza iaitu inovatif bagi tujuan mencipta kekayaan dan menambah nilai
kepada masyarakat dan usahawan. Usahawan juga dikatakan mempunyai ciri-ciri dan
profil diri yang unik, hebat serta mempunyai kompetensi keusahawanan iaitu
kemampuan dan kemahiran diri untuk melaksanakan fungsi fungsi keusahawanan dengan
berkesan.
Antara
ciri-ciri yang perlu ada untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya ialah
perlu mempunyai rangkaian yang banyak dengan usahawan yang lain, perlu berani
mengambil risiko, perlu menjadi seorang pemerhatian yang teliti dengan pesekitaran
dan perlu berwawasan. Selain itu, seorang usahawan yang berjaya juga perlu
mengetahui bahawa kegagalan adalah satu pilihan dalam perniagaan. Malah untuk
menjadi usahawan yang berjaya perlu keterbukaan budaya, berorientasikan hasil
dan kumpulan. Akhir sekali, usahawan perlu bersikap proaktif untuk berjaya
dalam perniagaan dan harus tajam dalam peglihatan.
v RANGKAIAN
Rangkaian merupakan satu peluang besar dalam
menjadikan seseorang usahawan itu berjaya dalam perniagaannya. Hasil daripada
strategi rangkaian yang lepas menjadikan sumber untuk strategi yang mendatang.
Sekiranya seseorang usahawan mempunyai rangkaian yang baik maka, ini akan
memberi faedah yang besar dalam perniagaannya.
Antara kelebihannya adalah dari sudut kemudahan mencapai reputasi yang
baik boleh menjadi idola kepada usahawan yang lain. Di samping itu, tidak mudah
untuk seseorang usahawan meraih kejayaan tanpa bantuan daripada pihak lain.
Seorang usahawan yang berjaya perlu bijak dalam memilih individu yang bukan
sahaja dapat membantu perniagaan mereka pada masa ini, malah berpotensi untuk
membantu mereka pada masa yang akan datang.
·
Tan Sri Dato’ Dr. Tony Fernandes
Sebagai contoh usahawan yang mempunyai ciri
rangkaian dalam perniagaan yang diusahakan olehnya ialah Tan Sri Dato’ Dr. Tony
Fernandes yang juga dikenali sebagai Tony Fernandes. Beliau merupakan pengasas
Tune Air Sdn. Bhd yang memperkenalkan
penerbangan tambang murah yang disegani di Malaysia iaitu Air Asia dengan
slogan “Now everyone can fly”. Dalam meraih kejayaan, beliau tidak berseorangan
kerana beliau telah dibantu oleh rakan baik beliau iaitu Datuk Kamarudin
Meranum. Tony Fernandes menyatakan hasrat beliau untuk menjadi seorang usahawan
dan menubuhkan syarikat penerbangan kepada rakan baiknya itu selepas tertarik
dengan iklan sebuah syarikat penerbangan tambang murah, Easyjet.
Oleh hal yang demikian, kedua-dua sahabat baik tersebut
mengambil keputusan untuk mengeluarkan simpanan masing-masing dan berjaya
mengumpulkan sebanyak RM1 juta untuk dijadikan sebagai modal.
Tambahan pula, beliau turut meminta bantuan
daripada Datuk Pahamin Abdul Rajab untuk mendapatkan lesen penerbangan. Beliau
pula telah membawa Tony Fernandes berjumpa dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang
merupakan Perdana Menteri pada ketika itu. Hasil perjumpaan tersebut, lesen
penerbangan berjaya diperoleh. Mengakui jasa Datuk Pahamin begitu besar dalam
merealisasikan impiannya menjadi kenyataan, beliau telah mempelawa Datuk
Pahamin untuk menjadi rakan kongsi beliau. Kerjasama yang ditunjukkan oleh Tony
Fernandes dan rakan-rakan kongsinya itu, mereka berjaya mengambil alih syarikat
penerbangan AirAsia Sdn. Bhd yang mana syarikat tersebut diterapkan menjadi
syarikat penerbangan tambang murah yang kini popular di Malaysia. Seterusnya,
Tony Fernandes juga menggunakan peluang rangkaian untuk melebarkan lagi legasi
perniagaannya dengan membentuk kerjasama di Thailand dan Indonesia di mana
AirAsia memegang 49% syer dalam kedua-dua syarikat penerbangan di negara
tersebut. Ini telah membuka peluang yang besar kepada AirAsia dalam meluaskan
perniagaannya di rantau Asia malah hingga ke peringkat global. Oleh itu,
jelaslah bahawa kejayaan seseorang
usahawan itu tidak mungkin dapat di perolehi tanpa bantuan daripada pihak lain.
Melalui kerjasama kedua-dua pihak, sudah tentu masalah dapat dikongsi dan
diselesaikan secara bersama. Dalam situasi Tony Fernandes, kejayaan yang
dikecapi oleh beliau sekarang adalah hasil titik peluh beliau bersama rakan
baiknya itu serta dari pihak-pihak berkepentingan yang lain. Tanpa rangkaian dan
hubungan yang terjalin, beliau mungkin tidak dapat berdiri megah sebaris dengan
usahawan yang berjaya pada era kini.
v PENGAMBIL
RISIKO
Usahawan merupakan seseorang individu biasa, namun yang
membezakan usahawan adalah sikap dalaman mereka sendiri. Mereka adalah jenis
individu yang sanggup mengambil risiko dalam apa juga keadaan demi sebuah
kejayaan dalam hidupnya. Oleh itu, seorang usahawan seharusnya mempunyai ciri
pengambil risiko yang baik demi kejayaan dalam hidup. Sikap keberanian dalam
mengambil risiko perlu diserapkan dengan pengetahuan dan kefahaman mengenai
cara menilai dan menangani risiko terbabit. Beberapa tahun kebelakangan ini,
pengurusan risiko semakin diberi penekanan dalam sudut pengurusan perniagaan.
Melalui kaedah tertentu, pihak pengurusan boleh menentukan sama ada sesuatu
risiko itu tinggi, sederhana atau rendah tahapnya dan pihak pengurusan syarikat
mengambil tindakan bersesuaian dengan risiko terbabit.
·
Dato’ Seri Dr. Hasmizah Othman
Sebagai contoh, usahawan yang sanggup
mengambil risiko iaitu di dalam diri Dato’ Seri Dr. Hasmizah Othman atau
dikenali sebagai Dato’ Seri Vida merupakan pengasas kepada produk terkenal
Pamoga dan Qu Puteh. Beliau merupakan peneraju kepada syarikat produk
kecantikan dan kesihatan yang disegani dan menjadi ikon kepada anak muda yang
ingin menceburi bidang perniagaan. Namun, dugaan di awal permulaan karier
beliau telah mematangkan dan menjadikannya bijak dalam merebut peluang yang
ada. Beliau dikatakan sanggup mengambil risiko dengan menggandaikan apa sahaja
yang dimikilinya seperti menjual aset yang ada bagi membuka syarikat meskipun
ketika itu negara di dalam kegawatan ekonomi. Dalam usaha untuk menempuh
kejayaan dalam bidang yang diceburi, seseorang usahawan itu perlu menempuh
pelbagai cabaran dan risiko yang tersendiri. Bagi Dato’ Seri Vida, niatnya
untuk memulakan perniagaan dalam keadaan kegawatan ekonomi, bukanlah penghalang
kepada kejayaan sesebuah perniagaan, tetapi beliau seorang yang bijak dalam
pengambil risiko. Berbekalkan kesungguhan yang ada dalam diri, beliau kini
mampu berdiri megah sebaris dengan jutawan kosmetik yang lain.
Oleh itu, jelaslah bahawa kejayaan yang
diraih oleh usahawan pada masa kini tidak datang bergolek seperti orang
mengantuk disorongkan bantal. Namun sekiranya ingin berjaya, mereka perlu
berbekalkan pengalaman, pengetahuan dan semangat ingin berjaya serta sanggup
mengambil risiko tidak kira masa mahupun tempat.
v PEMERHATIAN
Usahawan yang berjaya adalah seseorang yang mampu
berfikiran kreatif dan inovatif kerana mereka perlu memerhati dengan teliti
cabang-cabang peluang supaya boleh menjana idea atau langkah-langkah ke arah
tindakan untuk merebut peluang yang ada serta mampu menyelesaikan sesuatu
masalah dalam perniagaan. Usahawan yang berjaya dapat menganalisis persekitaran
dan bijak dalam merebut peluang. Melalui kaedah pemerhatian ini, usahawan mampu
menilai dan membuat keputusan dalam mengembangkan proses perniagaan yang
dimiliki supaya mereka boleh terus berjaya atau sekurang-kurangnya mampu
bertahan dalam usaha mereka. Usahawan juga akan menyesuaikan idea baru dengan
keperluan masyarakat dan persekitaran dan akhir sekali berusaha melakukan
peningkatan kualiti idea.
·
Harsukhlal Maganlal Kamdar
Antara contoh usahawan yang gemar menggunakan
pemerhatian dalam perniagaannya ialah Harsukhlal Maganlal Kamdar. Beliau merupakan
peneraju gedung pakaian Kamdar. Beliau memulakan perniagaan dalam bidang import
eksport tetapi diberhentikan akibat Perang Dunia Kedua. Selepas itu, beliau
sering menunggang basikal 20 hingga 30 batu sehari di sekitar Pulau Pinang bagi
melihat dan memerhati bidang perniagaan yang berpotensi. Kemudian beliau pergi
ke Singapura bagi menyertai perniagaan import eksport kain, sagu, kekacang,
kain guni dan sebagainya. Beliau telah bekerja dan mencari pengalaman selama
tiga tahun di Singapura. Pada tahun 1950, Harsukhlal telah membuka perniagaan
yang diberi nama BA Lalaji dan kemudiannya bertukar kepada BH Kamdar &
Kamdar. Perniagaannya telah berkembang dan beliau turut membuka kedai di Kuala
Lumpur. Melalui pemerhatian beliau, Kuala Lumpur merupakan sebuah kawasan yang
berpotensi untuk menjalankan perniagaan dalam jangka masa panjang. Oleh itu,
Harsukhlal telah meninjau peluang untuk membuka cawangan yang lain di Kuala
Lumpur dan kini Kamdar telah meluas diseluruh pelosok Malaysia.
Oleh itu, usahawan ialah orang yang mempunyai
keistimewaan tersendiri walaupun daripada menjadi sebagai pemerhati, mereka
dapat menghasilkan idea yang membawa manfaat kepada diri dan masyarakat.
v BERWAWASAN
Untuk maju kehadapan, setiap usahawan perlu berpandangan
jauh dan sentiasa memiliki wawasan di dalam diri. Usahawan seperti ini akan
sentiasa melihat persekitarannya sama ada mereka di dalam kawasan ancaman
ataupun peluang kepada perniagaannya serta bijak dalam mengatasi apa sahaja
halangan dan sentiasa mengambil hikmah disebalik dugaan yang terjadi dan ianya
adalah satu cabaran dalam hidup.
·
Dato’ Aliff Syukri Kamarzaman
Antara contoh, usahawan juga merupakan orang
yang banyak menyumbang kepada peningkatan ekonomi dan membuka peluang pekerjaan
kepada masyarakat. Salah seorang usahawan negara kita yang sentiasa berfikiran
jauh bagi mencapai matlamat penting sesebuah negara ialah Dato’ Aliff Syukri
Kamarzaman. Beliau dahulunya hanya seorang penjual kosmetik di pasar malam dan
kini berkat keazaman dan matlamat yang tinggi untuk berjaya, akhirnya beliau
berjaya membuka syarikat kosmetiknya sendiri. Dalam era permodenan ini, Dato’
Aliff mempunyai wawasan untuk menjadikan sebuah syarikat “single level” yang
dapat mngeluarkan produk kecantikan dan kesihatan luaran dan dalaman yang
berkualiti tinggi dan berkesan serta berkonsepkan semua orang mampu beli.
Beliau juga memiliki satu misi iaitu membantu wanita dan lelaki kelihatan lebih
yakin dan bergaya.
Oleh itu, tidak dapat dinafikan lagi bahawa
wawasan seseorang usahawan merupakan penyumbang dalam sesebuah kejayaan dalam
hidup. Dengan adanya wawasan, usahawan akan lebih berdaya maju dalam
merealisasikan impian mereka.
v KEGAGALAN
ADALAH SATU PILIHAN
Usahawan yang berjaya adalah mereka yang tidak mudah
kecewa dan berputus asa apabila mengalami kegagalan. Ini kerana disebalik
kegagalan, mereka belajar untuk bangun semula. Kebanyakan usahawan percaya
mereka lebih banyak belajar dari kegagalan berbanding kejayaan. Sebagai seorang
usahawan, mereka tidak akan dapat lari daripada pelbagai risiko kegagalan dalam
perniagaan. Namun, apa yang menguatkan semangat dalaman setiap usahawan adalah
sifat keterbukaan dan motivasi yang tinggi yang membuatkan mereka menganggap
kegagalan adalah cabaran untuk terus maju dalam perniagaan. Hal ini mereka akan
belajar daripada kegagalan yang dihadapi dengan membuat perubahan untuk bangun
semula.
v Aitthipat
Kulapongvanich
Sebagai contoh usahawan yang berjaya selepas
mengalami kegagalan ialah jutawan muda dari Thailand iaitu Aitthipat
Kulapongvanich. Beliau merupakan jutawan makanan segera rumpai laut yang
dinamakan ‘Toa Kea Noi’. Beliau pernah mengusahakan perniagaan menjual chestnut
goreng dan menjual pemain DVD. Namun beliau telah ditipu dan menyebabkan beliau
mengalami kerugiaan yang besar. Namun, kegagalan itu tidak pernah mematahkan
semangat anak muda ini untuk terus berusaha untuk berjaya dalam perniagaan
rumpai laut kerana makanan seperti ini digemari ramai. Setelah berjaya
menghasilkan rumpai laut yang enak, beliau sekali lagi mengalami kegagalan
untuk memasarkan produk kerana beliau tidak memiliki kilang dan pembungkusan
makanan beliau tidak menepati standard yang telah ditetapkan. Pelbagai rintangan
yang terpaksa beliau harungi. Beliau tidak patah semangat untuk cuba meningkatkan
mutu produk beliau dengan membuat rekaan bungkusan yang lebih menarik dan
mencari bangunan terpakai untuk dijadikan kilang serta mengambil beberapa orang
pekerja dengan tujuan memperoleh kepercayaan daripada pihak Seven Eleven untuk
memastikan produk beliau dapat dipasarkan oleh syarikat tersebut. Kini usahawan
muda ini dapat tersenyum lebar kerana usaha beliau membuahkan hasil apabila
Seven Eleven telah menjual produknya di seluruh pelosok dunia.
Hal ini menunjukkan bahawa kegagalan bukanlah
penghalang untuk mencapai apa sahaja yang dihajati, namun apa yang diusahakan
selepas mengalami kegagalan adalah titik fokus yang perlu dititikberatkan.
v KETERBUKAAN
BUDAYA
Usahawan yang berjaya haruslah memiliki ciri
keterbukaan budaya dalam mengendalikan sesebuah perniagaan. Keterbukaan budaya
membawa maksud usahawan boleh menerima pandangan dan pendapat orang lain serta
persekitaran sekeliling di dalam organisasi perniagaannya. Sifat keterbukaan
ini akan mempengaruhi setiap aspek dalam membuat keputusan yang bijak dalam
perniagaan. Dalam membuat keputusan, usahawan perlulah mengambil kira setiap
sudut faktor dalaman dan luaran organisasi dan menggunakan strategi-strategi
pengaruh bagi mewujudkan kepintaran dan kecekapan rangkaian yang lebih meluas.
·
Mark Zuckerberg
Antara usahawan yang mengamalkan ciri
keterbukaan budaya dalam perniagaannya ialah Mark Zuckerberg juga memiliki
ciri-ciri keterbukaan budaya. Beliau merupakan salah seorang pengasas Facebook.
Melihat komunikasi adalah perkara yang paling penting di era ini, maka beliau
telah membina “messenger” untuk membantu orang-orang yang berhubung dengan
orang yang mereka mahu dan berkongsi apa yang mereka mahu. Melalui perspektif
kerajaan, Mark Zuckerberg percaya bahawa ianya boleh membawa ketelusan dan
kejujuran untuk dialog dalam persekitaran yang boleh membawa kepada pemerkasaan
rakyat. Tambahan pula, dengan memberi kuasa kepada manusia untuk berkongsi,
menukar buah fikiran dan suara mereka dapat didengar oleh pihak kepentingan
terhadap apa sahaja isu, maka pihak tersebut akan menjadi lebih responsif
terhadap sekeliling.
Oleh itu, sifat keterbukaan budaya sangat
penting dalam diri usahawan supaya mereka lebih bersifat peka terhadap
persekitaran dan membuahkan idea yang mantap hasil daripada gabungan dari
pihak-pihak lain.
v BERORIENTASIKAN
HASIL
Usahawan yang berorientasikan hasil sentiasa
menitikberatkan mutu setiap kerja yang dilakukan yang dapat memberi kelebihan
daya saing daripada pesaing serta dapat mendatangkan hasil yang lebih
lumayan. Melalui ciri usahawan yang berorientasikan hasil, mereka akan
berusaha menghasilkan produk yang berkualiti yang mampu memenuhi keperluan dan
kehendak pelanggan serta berdaya maju.
·
Tan Sri Loh Boon Siew
Setiap usahawan mesti memiliki pandangan yang
jauh mengenai peluang yang mampu
menjadikan wang kepada mereka. Hal ini kerana mereka lebih cenderung dengan
melihat hasil yang diperoleh yang membuatkan mereka berani bertindak dan tidak
gentar dengan apa jua cabaran dan risiko yang didatangi. Seperti yang kita
sedia maklum, Honda merupakan syarikat yang dimiliki oleh jurutera dan usahawan
motokar terkenal dari Jepun iaitu Soichiro Honda. Di Malaysia terdapat seorang
usahawan yang berjaya menaikan nama Honda iaitu Tan Sri Loh Boon Siew dengan
menubuhkan syarikat miliknya iaitu Boon Siew Honda. Beliau telah berjaya
mengeluarkan motosikal jenama Honda dan menepati citarasa pengguna di negara
ini. Idea untuk menjual motosikal Honda di Malaysia telah tercetus sewaktu
beliau bercuti di Jepun di mana beliau tertarik dengan motosikal Honda yang
belum pernah ada di Malaysia. Di awal penjualan, beliau hanya menjual motosikal
tersebut kepada rakan-rakannya sahaja tanpa mengambil sebarang untung kerana
tujuan beliau adalah ingin memperkenalkan motosikal jenama Honda di negara
kita. Pada tahun 1963, motosikat Honda menjadi kenderaan yang paling diminati
dan berkat kesungguhan di dalam sikap yang berorientasikan hasil, kini
motosikal jenama Honda mendapat sambutan yang menggalakkan sehingga hari ini.
Oleh hal yang demikian, usahawan yang memiliki
ciri berorientasikan hasil mampu mencipta kejayaan kerana mereka sentiasa
bertekad dan berusaha untuk merealisasikan impian
v BERORIENTASIKAN
KUMPULAN
Usahawan yang mempunyai ciri berorientasikan kumpulan
akan lebih mudah dalam menguruskan perniagaan beliau kerana mereka lebih
berupaya untuk menjalankan perniagaan dengan lancar dan sistematik di mana
mereka sering di kelilingi oleh kumpulan yang memiliki pelbagai kepakaran dalam
memajukan syarikat. Usahawan perlu bijak dalam mengagihkan pekerja dalam
beberapa kumpulan mengikut kepakaran dalam menjalankan tugas masing-masing
dalam satu kumpulan.
·
Datuk Wan Mohammad Sani Salleh
Apabila menyentuh soal keusahawanan yang
bergiat aktif di dalam bidang pengangkutan, Datuk Wan Mohammad Sani Salleh
merupakan Pengarah Urusan Sani United Sdn. Bhd. (SUBS) ini terukir pada bas
berwarna merah yang acap kali menjadi pilihan pengguna bas. Beliau juga telah
menjadikan sahabat karibnya iaitu Datuk Sharifuddin sebagai insprirasi dan
pembakar semangat untuk terus yakin melangkah ke alam keusahwanan. Datuk
Sharifuddin juga merupakan pendorong kuat kepada beliau untuk menceburi di
dalam bidang keusahawanan berasaskan automotif ini. Di awal pembukaan
perniagaan, beliau bersama dua orang rakan kongsi memulakan perniagaan ini.
Namun, rakannya telah membuat keputusan untuk tarik diri dari perniagaan. Pada
saat itu, beliau merasakan keadaan begitu sukar kerana terpaksa bertindak seorang
diri tanpa sebuah kumpulan yang kuat. Berkat kesabaran dan semangat yang tinggi
beliau telah berjaya bangkit daripada keseorangan sehingga beliau berjaya
memiliki 150 kakitangan sendiri. Walaupun memiliki ramai pekerja, beliau sering
menerapkan semangat berpasukan dan kerja berorientasikan kumpulan apabila
beliau sememangnya sangat menitikberatkan soal kelancaran kerja yang dijalankan
oleh pihak pentadbiran dan kerja kakitangan beliau.
Dalam konteks ini, dapat disimpulkan untuk
berjaya seseorang usahawan itu tidak hanya mendongak ke langit tetapi perlu berkerjasama
dengan orang bawahan demi kepentingan perniagaan. Ini kerana tanpa orang
bawahan siapalah kita yang mampu berdiri megah di dalam bidang keusahawanan.
v PROAKTIF
Usahawan yang proaktif akan berpandangan jauh dan
sentiasa berusaha untuk melakukan inovasi terhadap perniagaannya. Proaktif
bermaksud sikap positif yang merangka dan mengawal tindakan yang dilakukan
lebih awal daripada jangkaan yang bakal berlaku. Sebagai usahawan yang berjaya,
sikap ini sangat penting dan perlu dipratikkan di dalam perniagaan. Sebagai
usahawan, mereka perlu cepat dan bijak dalam meragka strategi perniagaan supaya
sebarang kesilapan dalam operasi perniagaannya dapat diperbetulkan secepat
mungkin.
·
Steve Jobs
Antara contoh usahawan yang memiliki ciri
yang proaktif ialah Steve Jobs. Pada Mei 1998, beliau telah memperkenalkan iMac
iaitu produk inovatif di mana industrI PC sangat terperona kerana reka bentuk
yang canggih dan menarik. Beliau juga memberi perhatian kepada pengalaman pelanggan
untuk membuat inovasi pada sesuatu produknya. Pada 28 Mei 2003, Steve Jobs
telah memperkenalkan iTunes kepada dunia iaitu sebuah kedai muzik dalam talian
yang membolehkan pelanggan untuk mencari, membeli dan memuat turun muzik dengan
membeli secara talian dengan hanya 99 sen untuk setiap lagu tanpa yuran
langganan. Hasil sikap proaktifnya, beliau telah berjaya merealisasikan impian
orang lain dan diri sendiri.
Oleh hal yang demikian, jelaslah bahawa
usahawan perlu memilik ciri yang proaktif supaya dapat terus kekal dan berdaya
maju di dalam bidang perniagaan. Setiap usahawan percaya bahawa setiap
permulaan perniagaan itu memerlukan pengorbanan dan risiko yang tersendiri.
Namun, dengan perancangan yang rapi dan strategi yang tepat, maka mereka dapat
meraih kejayaan dalam masa yang singkat.
v TAJAM
PENGLIHATAN
Observant bermaksud
tajam penglihatan atau lebih spesifik dikatakan teliti dalam melakukan sesuatu
pekerjaan. Ciri ini sangat penting untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya.
Sebagai buktinya, Dato’ Yusof Haslam atau nama sebenar beliau ialah Mohd Yusof
bin Md. Haslam Khan merupakan seorang pengarah filem di Malaysia. Dato’ Yusof
Haslam dilahirkan pada 24 April 1954 dan berasal dari Jalan Pahang, Kuala
Lumpur. Beliau merupakan seorang usahawan yang terkemuka di Malaysia dan
mendapat pendidikan terakhirnya di Sekolah Kebangsaan Polis Depot dan Sekolah
Menengah Aminuddin Baki, Kuala Lumpur.
·
Dato’ Yusof Haslam
Selain
kerjaya beliau sebagai penerbit filem, drama, penulis skrip dan pelakon, Yusof
juga adalah Pengarah Urusan di Skop Production. Beliau telah mengeluarkan filem
komersial seperti Sembilu, Gerak Khas The Movie dan banyak lagi membuktikan
segala penat lelahnya sebagai penggiat seni perfileman sejak 1970-an mendapat
penghargaan masyarakat dan media masa.
Datuk Yusof
Haslam adalah seorang pengarah yang cukup prihatin dan teliti dengan
masalah-masalah sosial di kalangan remaja dan juga masyarakat kota. Beliau
menggunakan konsep tajam penglihatan atau peka terhadap isu sekeliling. Dalam
filem-filemnya sering digambarkan kemelut remaja kota, kehidupan remaja yang
terbiar, keluarga yang bermasalah dan juga keluarga yang ketat memberikan
perlindungan kepada anak-anak remaja. Pendek kata, dalam filem-filem Yusof kita
akan didedahkan dengan segala permasalahan itu dan nasihat-nasihat serta
cara-cara untuk mengatasinya.
Dengan ini, terbuktilah bahawa ciri yang diamalkan oleh Datuk Yusof Haslam ini
membuahkan hasil dan menjadikan beliau seorang usahawan perfileman yang berjaya
di Malaysia. Negara kita perlu berbangga dengan adanya usahawan begini dan
berharap agar lahirnya usahawan baru di masa yang akan datang.
Comments
Post a Comment